Tak Masuk Akal! Inilah Gaji Yang Diminta Mario Gomez Untuk Mengendali Skuad Harimau Malaya



Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayangkan tidak akan menggunakan khidmat bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, untuk membimbing skuad kebangsaan.

Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata FAM akan mencari individu lain yang benar-benar berminat selepas Gomez meminta gaji lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan badan induk itu. 

"Saya dimaklumkan bahawa Mario Gomez menafikan bahawa beliau meminta gaji yang tinggi. Kami menawarkan USD25,000 (RM110,900) kepada beliau tetapi beliau meminta USD40,000 (RM177,500)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM, hari ini.

"Adakah itu bukan beliau meminta lebih daripada apa yang kami tawarkan? Tidak mengapalah. Kami akan cari individu lain yang betul-betul mahu menjadi jurulatih Malaysia."

Tambahnya lagi, beliau sudah menetapkan satu polisi di mana setiap jurulatih luar negara perlu dibantu oleh jurulatih anak tempatan. 

"Bukankah Tan Cheng Hoe sekarang adalah jurulatih anak tempatan yang bagus? Saya sedang melakukan kerjasama yang terbaik untuk skuad kebangsaan tetapi penyokong semua bising kata 'jangan ambil dialah', 'pilih orang lainlah'. 

"Kami telah memulakan projek ini dan meminta beberapa nama untuk dipilih, dan nama Cheng Hoe tersenarai dan dilihat sebagai jurulatih yang terbaik buat masa sekarang. 

"Bukankah untuk memilih yang terbaik bagi membimbing pasukan kebangsaan adalah keutamaan kita? Betulkah anda semua sayangkan pasukan kebangsaan? Dan betulkah anda semua inginkan perubahan? Apa yang anda semua nak sebenarnya?"

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata pada masa ini penyokong dan pihak media telah diberikan keistimewaan untuk bertanya dan meminta sendiri kepada presiden mengenai apa sahaja yang ingin diketahui dan pada bila-bila masa sahaja. 

"Malah, tahap ketelusan dan maklumat yang telah saya kongsikan dalam masa 11 hari saya menjadi presiden adalah lebih banyak daripada apa yang anda dapat sejak 30 tahun dan anda semua masih lagi 'complain'. Inilah dia pemikiran bola sepak Malaysia," katanya lagi.

Sumber : http://www.stadiumastro.com

No comments:

Post a Comment