Ghaddar Dedahkan Inilah Pemain Pertahanan Yang Paling Sukar Untuk Dilepasinya Di Liga Malaysia
11 idaman Ghaddar
Pada mulanya, Ghaddar memilih formasi 4-3-3 sebagai formasi pilihan pasukan idamannya. Tetapi dipertengahan temuramah, beliau menukar ke formasi 3-4-3. Semuanya gara-gara seorang pemain tengah tempatan di Kelantan.
Siapa pemain tersebut? Ikuti pilihan Ghaddar dan mengapa di bawah:
Penjaga gol
1. Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
“Apek mempunyai segala ramuan sebagai penjaga gol. Fizikalnya baik. Kemahirannya pun bagus. Tetapi yang paling bagus sekali tentang Apek adalah cara beliau menyusun organisasi pertahanan kami di Kelantan.”
Pertahanan tengah
2. Marcos Antonio (JDT)
“Siapa nama pemain JDT yang berjersi no.6?” tanya Ghaddar kepada kami. Ternyata beliau masih belum kenal nama semua rakan sepasukannya yang baru. “Yes. Yes. Marcos. Pemain hebat!” kata Ghaddar sebaik sahaja kami menjawab soalannya.
“Badannya dibina seperti kereta kebal. Saya beruntung Marcos kini merupakan rakan sepasukan saya. Bukan lawan saya.”
3. Mamadou Danso (Kelantan)
“Semasa di Kelantan, saya sengaja memilih untuk bermain menentang Danso dalam latihan. Danso memberi saya peluang untuk mendapat situasi perlawanan sebenar ketika dalam latihan. Sukar untuk melepasinya.”
4. Khairul Helmi Johari (Kedah)
Sama ada Ghaddar banyak minum air semut atau beliau memang tak pandai ingat nama orang, penyerang baru JDT ini sekali lagi bertanya, “Siapa kapten Kedah yang bermain di pertahanan?”
“Keon,” jawab kami.
“Oh ya. Bagi saya beliau adalah pemain pertahanan terbaik pernah saya hadapi di Malaysia. Kelebihannya adalah dia bijak mengagak strategi saya.”
Sayap kanan
5. Baddrol Bakhtiar (Kedah)
“Teknik beliau antara yang terbaik pernah saya lihat di Malaysia. Hantaran lintang, sepakan percuma, rembatan jarak jauh, hantaran pendek, hantaran jauh – semuanya dilakukan oleh beliau dengan sempurna.”
Tengah
6. Margaro Gomis (Kelantan)
“Margaro adalah sebab utama saya tak perlu risau tentang pertahanan ketika saya bermain di Kelantan. Memiliki Margaro umpama memiliki polisi insuran dalam pasukan.”
7. Safiq Rahim (JDT)
“Dalam latihan, Safiq tidak pernah menurunkan intensitinya. Apa yang anda lihat semasa perlawanan, itulah Safiq semasa latihan.”
Sayap kiri
8. Indra Putra Mahyuddin (Kelantan)
Indra adalah satu-satunya pemain yang membuatkan Ghaddar mahu bertukar dari 4-3-3 kepada 3-4-3 sebagai formasi pilihannya.
“Boleh tak saya pilih 3 pertahanan sahaja?” tanya Ghaddar kepada kami. Sudah tentulah kami membenarkannya. “Sebab saya tak boleh tinggalkan Indra dalam senarai pilihan saya,” jelasnya lagi.
“Perkara yang saya paling suka tentang Indra adalah beliau pemain lengkap. Beliau ada teknik, fizikal, laju, mempunyai kekuatan mental dan boleh menjaringkan gol dari mana-mana.”
Penyerang
9. Mohammad Ghaddar (JDT)
“Saya perlu letakkan diri saya. Siapa lagi penyerang terbaik di Malaysia selain saya,” jawab Ghaddar bangga sebelum ketawa besar.
10. Matheus Alves (Pahang)
“Pemain Pahang berjersi no.29 merupakan penyerang yang sangat berbahaya. Fizikalnya kuat, tekniknya bagus dan laju pula. Beliau adalah nama pertama yang saya fikirkan bila anda (Semuanya BOLA) mahu saya buat temuramah 11 pemain idaman.”
11. Gabby Guerra (JDT)
“Gabby boleh menggelecek bola walaupun anda kawal (man-mark) beliau selama 90 minit. Saya tak sedar kehebatannya sehinggalah saya melihat sendiri apa yang beliau lakukan semasa latihan. Menakjubkan. Sangat menakjubkan.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment