Jumpa mayat reput dalam kotak polisterin di Pulau Tenggol Dungun
Kawasan di mana kotak polisterin dijumpai. Gambar kecil: Kotak polisterin yang mengandungi mayat reput.
DUNGUN – Satu mayat dibungkus dengan lima lapisan plastik jernih yang disumbat ke dalam sebuah kotak polisterin ditemui terdampar di pesisir pantai Pasir Tenggara, Pulau Tenggol di sini, pagi semalam.
Mayat dalam keadaan sudah reput dan berbau itu ditemui oleh seorang pekerja di pulau berkenaan yang ketika itu baharu sahaja pulang dari melakukan aktiviti ‘snorkeling’ bersama tiga lagi rakannya.
Pekerja berkenaan, Rosam Nuwar Ali, 36 berkata, satu kotak polesterin dibalut plastik jernih dan pita pelekat yang terdampar di tepi pantai menarik perhatiannya serta rakan-rakan.
Menurutnya, rasa ingin tahu membuatkan mereka mengambil keputusan untuk membuka dan amat terkejut dengan apa yang dilihat.
“Kira-kira jam 9.15 pagi saya dan tiga lagi rakan baharu sahaja selesai melakukan aktiviti ‘snorkeling’.
“Kami ternampak sebuah kotak polisterin terdampar dan apabila membukanya terdapat satu benda seperti jasad manusia dibalut dengan lima lapisan plastik jernih.
“Selepas membuka lapisan plastik itu terdapat bau busuk dipercayai bukan bangkai serta kami mengesyaki mayat manusia. Selepas itu, saya terus menghubungi pihak polis untuk urusan lanjut.
“Lokasi penemuan kotak berkenaan kira-kira 20 meter dari pantai dan lebih kurang 200 meter dari tempat penginapan yang berhampiran,” katanya kepada pemberita.
Mayat mangsa yang belum dikenalpasti identiti kerana reput dan hanya tinggal tengkorak itu dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
ANGGOTA polis membawa mayat reput yang dibalut plastik ditemui di dalam tong polystyrene terapung di pesisir pantai Pulau Tenggol.
Pihak polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur-unsur jenayah berlaku berdasarkan keadaan mayat berkenaan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -sinar harian
No comments:
Post a Comment