Janganlah Hina Kami Yang Terlanjur dan Ada Anak Luar Nikah
Dari Kisah Rumah Tangga
Assalamualaikum admin, tolong hide profile saya.
Saya di sini sekadar mahu berkongsi luahan yang terpendam sekian lama. Sekitar tiga tahun yang lalu, saya dan ex terlanjur. Bila saya beritahu dia bahawa saya mengandung, dia meminta saya menggugurkan kandungan. Namun saya menolak sebab saya fikir, cukuplah sekali kami berdosa, takkan sampai sanggup nak membunuh bayi yang tidak berdosa ini pula?
“Kalau awak tak nak anak ini, biarlah saya yang menanggungnya seorang diri. Saya tak sanggup nak buang. Mungkin bila di dunia kita terlepas bila kita dah buang anak itu. Tetapi di sana (akhirat) nanti, mampu ke kita nak menjawab?” kata saya kepadanya.
Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk menjaga kandungan saya walau apa pun yang terjadi. Namun setiap kali saya terjumpa dia, dia mesti mengulangi ayat yang sama. Sehingga saya terpaksa menjauhkan diri dari dia disebabkan dia kerap kali meminta saya menggugurkan kandungan.
Berbulan lamanya saya mendiamkan diri sehinggalah kandungan masuk usia enam bulan. Baby bump pada masa itu dah nampak. Saya dah tak berani duduk di rumah. Daripada keluarga saya dapat tahu, lebih baik saya keluar dari rumah dan tinggal di tempat lain. Saya tidak mahu keluarga saya malu dengan perbuatan saya. Apa-apa yang berlaku, saya tanggung sendiri.
Sehinggalah saya berjumpa dengan seorang makcik ini yang mengajak saya tinggal bersama dengannya. Kebetulan pula dia tingal berseorangan. Dialah yang banyak menjaga saya. Yang bagi saya makan macam-macam apabila saya teringin nak makan. Sampailah suatu masa dia bertanya kepada saya.
“Siapa bapa kepada bayi dalam perut awak ini? Mana dia? Kenapa dia tidak mahu bertanggungjawab?” soalnya.
Makcik itu akhirnya menelefon sendiri bekas teman lelaki untuk ajak berjumpa. Ex setuju untuk berjumpa dan kemudian makcik meminta ex bertanggungjawab. Ex saya setuju namun menetapkan syarat bahawa kami perlu bernikah di Thailand.
Syarat nikah di Thailand itu membuatkan saya rasa pelik. Kenapa mesti di Thailand? Puas saya selidik, rupa-rupanya ex sudah bertunang dengan orang lain iaitu perempuan pilihan ibunya sendiri. Bila saya mendapat tahu dia sudah bertunang dan bakal berkahwin pada masa saya melahirkan anak nanti, saya segera mengundurkan diri.
Saya tidak mahu tunangnya terluka. Kita sama-sama perempuan, lebih baik elakkan dairpada buat begitu pada dia walaupun pada masa itu diri saya sangat-sangat kasihan. Tetapi saya tetap pertahankan perempuan yang juga tunangnya itu. Dia tidak tahu apa-apa dan saya tidak mahu dia menjadi mangsa keadaan. Sedangkan majlis perkahwinan mereka tinggal tiga bulan saja lagi. Mesti semua persiapan telah siap dibuat dan jemputan juga telah diedarkan. Jika dibatalkan, pasti akan membuatkan banyak pihak malu.
Demi menjaga air muka orang tua ex dan orang tua tunangnya masa itu daripada dimalukan oleh orang kampung, saya redha dengan semua ini. Saya korbankan diri saya. Biarlah mereka berkahwin dan bahagia.
SAya dalam pantang hari ke 22, mereka sudah selamat diijabkabulkan. Syukurlah, air mata langsung tidak menitis. Malah pada masa itu saya rasa benar-benar kuat. Anak ini saya akan jaga dengan sebaik mungkin. Itu niat saya dan alhamdulillah saya mampu dan dipermudhakan dengan begitu baik sekali oleh Allah SWT.
Pernah sekali saya terjumpa akaun Facebook ex, saya terus add dan permintaan saya diterima. Saya hantar mesej kepada ex untuk bertanya khabar dan tunjuk gambar anak kepada dia. Tetapi, rupa-rupanya itu bukan ex, tetapi isteri ex. Segala macam isteri dia maki dan hina saya. Tak mengapa, saya maafkan dan langsung tidak berdendam apa-apa dengan apa yang pernah terjadi selama ini.
Sekarang anak sudah pun besar,tiga tahun sudah berlalu. Tetapi si kecil ini seringkali bertnaya mana ayah dia. Saya tidak pernah menceritakan perkara yang buruk mengenai ayahnya. Saya tidak mahu anak berdendam dengan ayahnya. Malah saya sentiasa meminta anak mendoakan akan kesejahteraan ayahnya walau di mana saja ayahnya berada.
Kepada masyarakat, usaha dipandang serong dan hina pada wanita yang bernasib seperti saya ini. Sedangkan ada perkara yang kita sendiri tidak tahu apa yang membuatkan seseorang itu melahirkan anak tanpa seorang suami. Tolong dan tolonglah jangan menghina kami. Kata-kata penghinaan dari orang sekeliling itulah yang membuatkan kami yang bernasib seperti ini berputus asa dan bertindak di luar kawalan.
Sekali lagi saya memohon dengan baik kepada semua mahupun lelaki atau perempuan, jangan pandang serong pada kami. -The Reporter
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment