Fattah Amin 'singkir' Mia Ahmad
KUALA LUMPUR: Apabila pelakon, Fattah Amin, diumumkan sebagai wajah baharu bagi kempen produk Oli Candy, pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai nasib aktres, Mia Ahmad, yang sebelum ini turut mempromosikan barangan keluaran VS Beauty Expert Sdn Bhd itu.
Apakah bintang drama Hati Perempuan itu disingkirkan daripada kempen produk berkenaan berikutan populariti yang dikecapi Fattah ketika ini?
Pengarah syarikat itu, Puteri Intan Zarith Che Rashdi, menjelaskan kontrak pelakon wanita itu bersama mereka sebenarnya sudah tamat.
"Saya sebenarnya sudah mengenali Fattah sebelum pelakon itu meledak bersama drama Suri Hati Mr Pilot lagi. Perbincangan bersamanya untuk mewakili kempen produk kami juga sudah bermula sejak musim raya lagi.
"Lagipun, kontrak enam bulan Mia bersama syarikat kami sudah tamat. Jadi, kita memutuskan untuk memilih Fattah pula," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pelakon lelaki itu sebagai wajah terkini bagi kempen jenama terbabit, di sini, hari ini.
Memeterai kontrak pada 3 November lalu, Fattah bakal menjayakan kempen produk pemberi tenaga dan makanan tambahan berperisa oren dipanggil Oli Candy X Fattah Amin bagi tempoh tiga bulan.
"Alhamdulillah, drama Suri Hati Mr Pilot mencipta fenomena tersendiri. Saya sendiri terkejut dengan sambutan luar biasa yang diterima. Malah, rezeki saya untuk mempromosikan produk itu juga bertambah.
"Bagaimanapun, saya dan pihak pengurusan, My Fastyle, tidak bersikap ambil mudah dalam soal sebegini. Jika ada peluang dan kena pada masanya, saya akan terima tawaran dihulurkan. Jika sebaliknya, kami tidak mahu mengambil risiko jika tidak mampu," kata Fattah.
Fattah yang kini menjalani penggambaran telefilem Bayangan Emilia memberitahu, beliau akan berehat panjang sehingga hujung tahun ini selepas komitmen bersama karya arahan Pekin Ibrahim itu selesai.
"Saya akan memberikan tumpuan kepada perniagaan restoran yang diuruskan keluarga, iaitu Stalker's Cafe, di Kota Damansara.
"Gimnasium saya di Kelana Jaya juga mungkin akan dipindahkan ke premis kafe berkenaan. Lebih mudah untuk saya menguruskan kedua-duanya jika ia berada di lokasi berdekatan," katanya.
Sumber Berita Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment